Rakan pengembara

19 November 2011

Cerpen : Layakkah Aku Untuknya?


Layakkah Aku
Untuknya?



A
SAP memenuhi ruang bilik yang serba kelam. Kekelaman yang hanya diterangi oleh tiga  buah lampu kalimantang yang bergantungan di atas tiga buah meja. Lima buah meja yang lain terus bergelap dan terselubung kain hitam. Di setiap meja yang terang berdiri beberapa orang pemuda sedang mengaburkan lagi pandangan yang sedia kelam dengan hembusan asap daripada nyalaan rokok masing-masing. Pada salah satunya berdiri seorang pemuda bernama Adi, yang sedang memusatkan pandangannya ke arah sebiji bola kecil berwarna putih di atas meja. Di tangan Adi sebatang kayu tirus panjang, di bibirnya sebatang rokok yang sudah tinggal sekerat.
            “Fokus bagai nak rak pun, bukannya masuk,” kata Remi yang sedang berdiri di sudut bertentangan dengan Adi.
            Adi tidak mempedulikan Remi. Dia maklum Remi kaki ‘menganjing‘. Dia sudah lali dengan Remi. Adi menahan nafasnya dan menolak bola putih dengan kayu cue.
            Tak! Berkelatuk bunyi kayu berlaga dengan bola. Bola putih itu meluru dan melanggar dinding meja, melantun kembali dan tepat mengenai bola hitam di hujung lagi satu. Bola hitam itu bergolek malas dan masuk ke dalam lubangpocket di bucu meja.
            “Yes!” Adi tersenyum lebar. Tangannya ditadahkan kepada Remi.
            Wajah Remi memuncung. Dia mengeluarkan sesuatu dari koceknya dan diserahkan kepada Adi. “Nah, ambiklah. Jom lagi se'round'. Aku nak revenge,” kata Remi dengan muka tidak puas hati.
            Adi memasukkan wang kertas sepuluh ringgit yang berkeroyok itu ke dalam poket seluarnya. Keroyok pun keroyoklah, yang penting ia tetap bernilai, fikirnya.
            “Ek eleh, tadi kata ni 'last'. Dah, dah, jom keluar pula. Kenalah tunjuk muka juga kat budak-budak lain tu,” Adi membantah. Puntung rokoknya dicucuh ke dalam bekas abu rokok yang terletak di tebing meja.
            “Huh, takutlah tu. Tak apa, ada ubi ada batas...” Remi mencemih mukanya lalu menurut Adi keluar dari bilik kelam itu.

ADI dan Remi berjalan menuju ke gelanggang boling yang terletak tidak jauh dari bilik tadi. Di gelanggang boling, sekumpulan lelaki dan perempuan sedang bermain.
            “Kau tengok tu,” kata Adi kepada Remi di sebelahnya. “Main boling pun lorong asing-asing lelaki dan perempuan. Lepas tu nak suruh kita join. Apa barang aku nak main bola warna-warni tu dengan jantan? Lepas tu bila 'strike' pun kena 'high-five' dengan jantan jugak. 'Gay' gila.”
            Remi tergelak mendengar bebelan Adi. “Tahu tak apa. Habis tu, kalau kita main bola kecil warna-warni berdua dalam gelap tu, tak gay ke?” balas Remi pula.
            “Diamlah kau!” Adi geram. Kata-kata Remi itu betul. Itu yang buat dia geram.
            Kedua-dua mereka berhenti dan berdiri tidak jauh daripada kumpulan tadi.
            “Ha, geng 'budak jahat' dah sampai,” seorang lelaki bertubuh kecil menyapa mereka berdua.
            “Hoi, mulut tu jaga sikit!” Remi membalas. “Kalau kita orang geng 'budak jahat', apa kau tu geng 'budak baik'lah ya? Baguslah. Biar aku bagi nama geng kau orang 'Geng mari ‘boling‘ sampai ke syurga'.” Remi kemudiannya ketawa terbahak-bahak dengan lawaknya sendiri.
            Adi buat-buat tak dengar saja. Matanya memandang ke arah lain.  
            “Tulah kau, mulut lancang sangat. Padan muka,” seorang lagi lelaki memarahi pemuda yang bermulut lancang tadi. Kemudian, dia memandang ke arah Adi dan Remi. “Nak join, jomlah. Lepas ni ada satu round lagi,” ajak lelaki tersebut.
            “Malaslah. Kau orang sajalah main,” balas Remi pendek.
            “Adi?”
Adi menoleh dan menggeleng kecil. Kemudian, pandangannya kembali ke tempat tadi.
            “Okey, suka hati kau oranglah. Tapi jangan lupa, habis game ni, nanti kita pergi makan okey. Bolehlah kau orang berkenal-kenalan dengan budak-budak baru ini,” sambung lelaki tadi.
            Adi masih diam tidak berkata sepatah pun.
            “Kenapa kau diam aje ni, bro?” tanya Remi.
            Adi masih tidak menjawab.
            “Hoi! Apa sangatlah yang menarik sangat kat situ sampai mata kau ni...” Bebelan Remi terputus seketika setelah matanya menurut pandangan mata Adi. “Oooh, cuci mata rupanya.”
            “Budak tu boleh tahan gak, bro,” akhirnya mulut Adi menjawab. Namun matanya masih terpacak ke satu arah saja.
            “Yang mana satu yang kau tengah usyar ni? Semuanya ustazah berkelubung aje aku tengok.” Remi menyiku Adi. Matanya mencari-cari kelibat gadis-gadis yang dirasakan menarik lagi menggiurkan seperti kebiasaan.
            “Yang itulah, yang tudung warna biru muda tu,” jawab Adi perlahan saja.
            “Hah?” Remi ternganga. “Kau biar betul, bro? Bertudung?” Mata Remi mencari-cari orang yang dimaksudkan. Setelah berjumpa, senyuman lebar terukir di wajahnya. “Oo... yang tudung warna biru muda tu ke?!” ulang Remi dengan suara yang sengaja dikuatkan. Serentak itu hampir kesemua mata di gelanggang boling menoleh dan memandang ke arah mereka berdua. Termasuklah gadis bertudung biru muda yang disebut-sebut tadi. Pandangan gadis tersebut bertembung tepat dengan pandangan mata Adi.
            “Diamlah, jahanam!” Adi menumbuk bahu rakannya itu. Wajahnya memerah tiba-tiba walaupun bukan dia yang semua orang pandang.
            Remi gelak berdekah-dekah tanpa tertahan lagi.
            Adi terus berpaling dan beredar dari situ.
            “Woi, tunggulah! Hahaha, kau ni, tu pun nak merajuk. Tak nak berkenalan dulu ke? Woi, Adi!” jerit Remi dengan kuat sambil mengekori Adi. Gelaknya masih kuat kedengaran.

**************

Begitulah sedikit pengenalan cerpen "Layakkah Aku Untuknya?" hasil karya saya. Ikuti sambungannya di dalam "Antologi Cerpen : Tentang Cinta" yang juga memuatkan sebuah lagi cerpen tulisan saya yang bertajuk 'Antara Cinta dan Dendam". Antologi 19 buah cerpen ini juga membariskan 8 lagi penulis bertaraf novelis/cerpenis iaitu Maria Kajiwa, Rizai Reeani, Farah Husain, Ilmar Imia, Ratu Bulan, Packy Sidique, Elzara Hariri dan juga Zuliana Abuas.

Antologi cerpen ini diterbitkan oleh Aurora Creative Enterprise dan boleh dibeli secara online dengan harga RM18.00. Untuk tempahan, boleh hubungi saya di nash.azly@gmail.com ataupun terus menghubungi Aurora Creative Enterprise di aurorabooks2@gmail.com.

Untuk 300 tempahan pertama, buku ini boleh dibeli dengan harga istimewa RM15.00 termasuk kos penghantaran. Dapatkannya sekarang! Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Komen