Rakan pengembara

18 Oktober 2011

Cerpen : Antara Cinta dan Dendam


Antara Cinta dan

Dendam



"Jika aku terpaksa memilih antara cinta dan dendam, yang mana satu akan kupilih?"



MENTARI semakin meninggi. Langit terang-benderang tanpa dilitupi sekelumit awan. Suria sedang berjalan menyusuri kaki lima Jalan Stesen menuju ke stesen LRT yang tidak jauh dari situ. Gadis belasan tahun itu mengharung terik tengah hari di kota raya Kuala Lumpur itu seorang diri. Jalan di kawasan itu lengang seperti biasa kerana rata-rata pengunjung yang ingin ke stesen LRT tersebut akan menggunakan lorong pejalan kaki yang bertentangan di seberang jalan. Namun tidak bagi Suria. Lumrah gadis itu adalah menyongsang arus.

Ini bukanlah kali pertama Suria melalui jalan tersebut. Dia sudah arif dengan kawasan itu. Namun begitu, kebiasaan bukanlah alasan untuk dia leka. Beg tangannya tersandang kemas di bahu. Pada hari ini begnya itu lebih berat daripada biasa, namun Suria tidak kisah. Ini adalah kerana hari ini merupakan hari istimewa buat Suria. Hati kecilnya berasa yakin yang sesuatu yang baik akan berlaku padanya hari ini.

Sejurus kemudian, Suria meraba ke dalam kocek baju kurungnya. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Jemarinya pantas menaip mesej pesanan ringkas.

Alif di mana sekarang?

Setelah menekan butang hijau, Suria memasukkan semula telefon bimbit itu ke dalam kocek bajunya. Wajahnya mula terasa hangat. Haba yang naik dari jalan tar menerbitkan fatamorgana di permukaan jalan. Kepanasan itu secara tidak langsung menjemput titis-titis peluh yang mula berkumpul pada wajahnya dan kemudian dirasakannya mengalir turun di belakang lehernya.

Tidak semena-mena kedengaran bunyi hon tidak jauh di hadapan. Seorang tua dari seberang jalan yang sama dengan Suria cuba melintas ke seberang sana, ke seberang yang ramai orang, namun tanpa menggunakan lintasan belang. Nasibnya kurang baik apabila percubaannya hampir digagalkan oleh bunyi hon sebuah pacuan empat roda yang terpaksa mengelak orang tua itu diikuti bunyi brek yang mendicit. Wanita tua berketurunan Cina itu tidak mengaku kalah, terus saja dia melintas seperti tiada apa-apa yang berlaku. Drama sebabak itu tidaklah memberi impak apa-apa kepada Suria selain daripada gelengan kecil dan senyuman yang terukir sebentar di wajahnya. Namun kakinya tetap terus berjalan tanpa berhenti sedikit pun.

Telinga Suria kemudiannya menangkap bunyi motor dari arah belakang. Suria menarik nafas dalam-dalam dan menahannya buat seketika. Pada tika dan saat itulah, tiba-tiba Suria terasa tangannya disentap dengan kuat. Beg tangannya! Oleh sebab tidak mahu tertarik sama, tindakbalas refleks Suria spontan melepaskan beg tangan tersebut.

Namun begitu, sedikit sebanyak dia tetap juga terdorong ke hadapan akibat tarikan tadi dan hilang imbangan lalu mula terjatuh. Pada saat terjatuh itulah sekilas terlintas di pandangannya sebuah motor dari pandangan belakang. Motor yang sedang memecut laju itu ditunggangi oleh dua orang dan sang pembonceng sedang memegang beg tangan kepunyaannya.

Suria tidak sempat berbuat apa-apa lagi. Tubuhnya secara refleks menggulingkan dirinya untuk mengurangkan impak jatuh dengan harapan dijauhkan daripada sebarang kecederaan. Dadanya berdebar kuat. Namun dia tidak meminta tolong. Diperhatikan saja motor itu memecut pantas sehingga hilang daripada pandangannya.


“SURIA!” panggil satu suara dari ruang tamu.

“Ya, bu,” jawab satu suara lunak dari arah dapur. Seketika kemudian, muncul Suria dari dapur.
Padan dengan suaranya, manis saja senyuman anak gadis itu apabila dia bergegas mendapatkan ibunya di ruang tamu.

“Kenapa ibu panggil Su?” tanyanya setelah tiba di ruang tamu.

“Ini ha.” Ibunya menyua sehelai kertas yang berlipat-lipat yang kelihatannya seperti sekeping surat. “Ibu tak berapa faham apa yang dia tulis ni, mata ibu tak jelas sangat,” tambah ibunya lagi.

Suria mengesat kedua-dua tangannya yang masih basah pada pahanya yang terbalut kain batik. Kemudian, dia mencapai kepingan surat itu daripada tangan ibunya.

“Eh, ini surat daripada Majlis Amanah Rakyat ni, bu,” kata Suria. Matanya terpusat pada isi kandungan surat.

“Apa katanya?” balas ibunya. Wajah orang tua itu penuh harapan.

“Permohonan bantuan pinjaman kita diluluskan, bu!” jawab Suria separuh terjerit. Senyuman lebar menghiasi wajah ayunya.

“Alhamdulillah… syukur kepada Tuhan.” Ibunya menyapu kedua-dua tapak tangan ke muka tanda bersyukur.

Suria menerpa dan memeluk ibunya dengan erat. “Lepas ini ringanlah sedikit beban kita kan, bu. Dengan duit yang kita dapat nanti, bolehlah kita luaskan lagi ladang cili kita itu.”

“Duit itu kan untuk benih dan baja. Bukannya untuk luaskan ladang.” Ibunya tergelak mendengarkan kata-kata anak gadisnya yang penuh bersemangat itu.

“Alang-alang tu, kita buat sekalilah. Bukannya habis duit itu dengan benih dan baja saja. Lagipun ruang tanah ladang itu kan masih luas. Rugilah kalau kita tak manfaatkan,” Suria menghujahkan pendapatnya.

“Kamu ni, Suria. Manalah ibu larat hendak jaga ladang seluas itu. Lainlah dulu masa ayah kamu ada.” Ibunya menggeleng kecil, kurang bersetuju dengan pendapat anak gadisnya itu.

“Alah, ibu ni. Su kan ada. Su akan tolong ibu. Su akan pastikan yang ladang kita bertambah luas dan maju di masa hadapan.” Suria memandang jauh ke luar tingkap, ke arah ladang cili mereka, walaupun sebenarnya tidaklah kelihatan pun ladang mereka dari situ. Kembang kempis hidung Suria ketika menyatakan tekadnya itu.

Kemudian apabila dia menoleh kembali melihat wajah ibunya, Suria perasan yang mata ibunya sudah pun dibasahi air mata. Suria mengesat air mata ibunya dan memeluknya dengan erat. Hati kecilnya berazam, walaupun mereka tinggal berdua saja, namun Suria akan pastikan yang hidup mereka akan sentiasa maju ke hadapan.


**********************




Ikuti sambungannya di dalam "Antologi Cerpen : Tentang Cinta" yang juga memuatkan sebuah lagi cerpen tulisan saya yang bertajuk 'Layakkah aku untuknya?". Antologi 19 buah cerpen ini juga membariskan 8 lagi penulis bertaraf novelis/cerpenis iaitu Maria Kajiwa, Rizai Reeani, Farah Husain, Ilmar Imia, Ratu Bulan, Packy Sidique, Elzara Hariri dan juga Zuliana Abuas.


Antologi cerpen ini diterbitkan oleh Aurora Creative Enterprise dan boleh dibeli secara online dengan harga RM18.00. Untuk tempahan, boleh hubungi saya di nash.azly@gmail.com ataupun terus menghubungi Aurora Creative Enterprise di aurorabooks2@gmail.com.


Untuk 300 tempahan pertama, buku ini boleh dibeli dengan harga istimewa RM15.00 termasuk kos penghantaran. Baru seminggu buku ini dilancarkan, pembaca sekalian masih berpeluang mendapatkannya dengan harga istmewa ini. Penghantaran akan bermula pada 1Nov 2011. Tempahlah sekarang! Terima kasih.